RESTU...Bahagian 5

Adli termenung murung. Emosinya bergalur dikepung emosi yang tak keruan. Air tasik yang tenang di hadapannya tidak mampu mendamaikan perasaannya di kala ini. Fikirannya menerawang mengingati peristiwa petang tadi. Bagi Adli, ibunya terlalu pesimis terhadap ayahnya sendiri. Apa sahaja perkara yang dibuat oleh ayahnya selalu salah di mata ibu. Sejak akhir-akhir ini ibunya sering sahaja marah-marah tidak tentu fasal. Pantang ada silap sikit, pasti kemarahan ibu dilepaskan kepada dia dan adik-adiknya. Apa salah kami mama?? Begitu tega mama menghukum kami adik-beradik di atas kesalahan papa. Apakah kerana terlalu kecewa dengan tindakan papa berkahwin lain maka mama menjadi sedemkian rupa. Tergamak mama pukul adik. Kenapa mama tak lepaskan sahaja kemarahan mama itu kepada Along. Adik masih kecil. Mana mungkin dia bisa mengerti hakikat hidup ini. Adli sedikit kesal dengan sikap papa dan mamanya yang dianggapnya terlalu mementingkan keegoan diri. Masing-masing cuba menunjukkan kehebatan sendiri tanpa berusaha mencari titik penyelesaian.

Dengan langkah yang lemah dan lambat Adli akhirnya melangkah jua merapati motosikalnya. Dicapai topi keledar yang tersangkut di handle motosikalnya. Topi keledar tersebut direnungnya lama sebelum dipakai. Walau macamana perit sekalipun, dia perlu tabah menghadapi dugaan ini. Aku perlu tabah! Aku perlu kuat! Adik-adik aku perlukan aku. Guman Adli dalam hati. Motosikal RXZ meluncur laju bersama sisa-sisa semangat yang masih terkumpul dalam diri Adli.

”Abang tu tak pernah nak tanya apa masalah saya? Yang abang tahu, asyik berkepit jer ngan pompuan tu” suara mama jelas di pendengara Adli sebaik sahaja menjejakkan kaki kedalam rumah.

”Awak pun tak pernah tanya kenapa saya kawin lain. Ape awak fikir saya suka nak dengar awak berleter tiap-tiap hari. Tiap kali saya balik rumah, awak asyik nak salahkan saya”

”Saya pulak yang awak salahkan. Abang dulu yang mulakan semua ni. Kalau abang tak gatal nak kahwin lain hah..kalau abang tu setia ngan saya, takdenya saya nak berleter” mama masih menyalahkan papa. Dirinya benar-benar tidak mahu kalah dengan keadaan.

Adli terus menapak ke bilik mencari-cari kelibat adiknya. Tidak dipedulikan pertengkaran mama dengan papa di ruang tamu. Begitulah situasi yang dialaminya setiap kali papa pulang ke rumah. Jika mama betul-betul berang, dia akan lupa semuanya termasuk memukul anak sendiri.