RESTU...Bahagian 3

Terkial-kial aku mempercepatkan langkahku mengekori langkah abah. Cepatnya abah jalan. Penat la camni. Abah ni memang tak boleh tengok orang senang langsung. Selalu jer nak suruh aku buat itu la, ini la. Dah la aku tengah malas tahap dewa sekarang ni. Aku mengomel sendiri di dalam hati. Abah sebenarnya sengaja mengajak aku menemaninya ke kebun. Katanya sengaja nak ajar aku cara-cara berkebun. Esok-esok tak payah la susah-susah beli buah kalau dah sedia tertanam di tanah sendiri. Betul gak kan?

”Hah..Ayu, pe lagi tercegat kat situ tu. Nah..ambik pisau ni. Kamu pegi ambik buah nangka. Abah dah tengok semalam. Memang sudah masak. Petang nanti bolehla suruh mak kamu buat pengat nangka” abah mengarahkan aku supaya memetik buah nangka yang terletak berhampiran dengan pokok limau sambil menghulurkan sebilah pisau.

”Yelah..yelah, orang pegi la ni” aku mengambil pisau dari tangan abah lalu bergerak ke arah pokok nangka. Dengan penuh berhati-hati aku mengerat tangkai buah nangka supaya tidak terkena getah yang keluar akibat hirisan tersebut. Hmm..memang sedap kalau dibuat pengat nangka nih. Tak sia-sia bapak aku tanam kau ni wahai nangka. Aku berfikir sendiri sambil merapati abah semula. Sesekali aku melihat ke arah kaki. Takut jugaklah kalau digigit pacat. Habis kaki aku yang comel ni hihihi...

”Dah petik nangka tu?”abah bertanya sebaik melihat kelibat aku di hadapannya. Tangan abah tidak berhenti-henti dari memotong rumput yang sudah mula tumbuh.

”Dah..”

”Letak nangka tu kat situ dulu..jap lagi nak balik abah ambik” suruh abah. Aku meletakkan buah nangka tersebut di perdu pokok kunyit.

”Abah..Ayu pegi ambik bunga kantan ek. Kat sana tu..” aku memberitahu abah sambil memuncungkan mulut menunjukkan ke arah pokok kantan.

”Ha..yelah” abah menjawab.

Aku terus menghilangkan diri di sebalik rimbunan pokok bunga kantan yang sudah tumbuh hampir sama dengan paras dadaku. Selepas selesai memotong beberapa batang bunga kantan, aku menuju pula ke arah pokok rambutan. Walaupun tiada apa-apa tujuan aku menghampiri pokok tersebut, namun pokok-pokok rambutan tersebut memberi seribu satu makna kepada diriku. Masih segar dalam ingatan aku, sewaktu aku masih di alam sekolah rendah dahulu, aku sering ke kebun ini bersama kakak-kakak aku. Di sinilah kenangan kita pernah tercipta. Waktu itu, pokok rambutan ini masih lagi baru ditanam. Selalu benar Kak Long mengingatkan aku supaya menyiram pokok rambutan ini. Katanya, bila dah berbuah dia hendak makan sepuasnya buah-buah rambutan tersebut.

”Ayu..Jom kita balik. Matahari dah tinggi ni” abah melaung memanggil aku.

Aku tersentak dari lamunan. Khayalan aku bersama Kak Long hilang bersama kenangan. Sebelum berlalu dari situ, aku menoleh sekilas terhadap pokok-pokok rambutan tersebut. Ternyata omongan kak Long dahulu hanya gurauan semata. Dia sebenarnya bukanlah penggemar tegar buah rambutan. Jika pulang ke kampung sekalipun, jarang benar dia menjenguk kebun yang sudah menjengah usia satu dekad itu. Hmm..entahlah. Dah jadi orang bandar, mana nak pergi lagi tempat-tempat macam tu. Kotorlah, pacatlah..Kamu pun jangan jadi macam tu. Tak ingat asal usul. Teringat aku kata-kata emak tempoh hari.